Dalam
usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu
betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini
diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab
beliau: "Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku
mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama')
mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu"
[Mansuah al Adab al Islamiah
: 15] Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh
diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan
seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita
memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah
sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan
ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik
daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.
Dalil Menuntut Ilmu
Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita
pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita
pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya
(pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari
tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan
supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."
[At Taubah 9 : 122]
Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya
Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan
memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh
setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT
dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya
Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama"
[HR Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
===01.Niat yang ikhlas===
Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat
kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi
niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA
sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa
yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki
menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan
tempat duduknya daripada neraka."
[HR Tarmizi]
Niat itu sendiri
memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita
akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya
hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang
terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.
===02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu=== Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia
berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang
bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab
daripada kalangan mereka yang berilmu"
[Kitab Majmuk, Syarah Mazhab,
jilid 1, m/s 31]
Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan
guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya
bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut
situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui
kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu
memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada
kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya
seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya
mahasiswa dengan pensyarah.
===03.Bersabar dalam menuntut ilmu===
Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan."
[Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237]
===04. Tulis setiap yang dipelajari===
Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah
kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata:
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling
banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka
sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis"
[HR Ahmad dan
Baihaqi]
===05.Rendah diri===
Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang
kami pelajari ilmu daripadanya."
[Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin
Ya'cob, m/s 274]
===06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan===
Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan
kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan
yang halal."
[Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]
===07.Tidur yang sedikit===
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman
(syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada
mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang
yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada
akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)."
[Az Zariyat 51 :
15 – 18]
===08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat===
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah
dengan perkataan yang baik ataupun diam."
[HR Bukhari dan Muslim]
PENUTUP:
Tiada adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah
SAW dan adab mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat),
generasi setelahnya (tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk
menuntut ilmu agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut
ilmu. Namun adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik'
sehinggakan memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati.
Manakah yang kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran?
Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya ilmu yang
layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al
Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda
Rasulullah SAWyang bermaksud: "Sesungguhnya barangsiapa di
antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat
perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk
berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang
terbina dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat denganya dan gigitlah ia
dengan gigi gerham."
[HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain]
Tinta saya hanyalah dari ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa
pentingnya adab dalam menuntut ilmu maka saya kongsikan apa yang
terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Saya memohon dari para 'alim dari
segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan silap dari apa yang
saya kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar melainkan dari al
Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW. - Artikel iLuvislam.com
0 pesanan buat saya :):
Catat Ulasan