Rabu, 11 Januari 2012

Inilah Hari Kepunyaan Anda.

\


Assalamualaikum.


Apabila anda berpagi-pagi maka janganlah menunggu hari petang. Hari inilah yang akan anda tempuhi, bukan hari kelmarin yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya dan juga bukan hari esok yang belum tentu datang. Hari yang ketika ini mataharinya menyinari anda dan siangnya menyapa anda inilah harinya.


Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi - hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka-duka serta pedih luka parut masa lalu dengan bayangan masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan.


Justeru itu, sudah sepatutnya anda mencurahkan seluruh perhatian, kepedulian dan kerja kuat anda pada waktu ini untuk hari ini. DAn pada hari inilah, anda perlu berazam mempersembahkan kualiti sembahyang yang paling khusyuk, bacaan al-Quran yang paling tartil dan penuh renungan, berzikir dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dan keredaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat terhadap kesihatan jiwa dan raga, serta berbuat baik terhadap sesama manusia.


Jadi sudah sepatutnya anda pada hari ini lebih bijak dan pandai membahagi-bahagi waktu anda dengan bijaksana. Jadikanlah setiap minitnya bagai ribuan tahun dan setiap saatnya bagai ratusan bulan; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkanlah sesuatu yang paling indah untuknya. Beristighfarlah atas semua dosa, ingatlah sentiasa kepada-Nya, bersiap-siaplah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat dan nikmatilah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan, Terimalah rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, rumah, ilmu dan jawatananda hari ini dengan penuh keredaan.


"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur." (Surah Al-A'raf:144)


Marilah Kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!


Pada waktu yang sama, anda jangan lupa untuk menggoreskan pada dinding hati anda satu kalimat :   "Inilah hari saya." Maka, jika hari ini anda dapat memakan nasi panas yang sedap aromanya maka adakah nasi basi yang anda tidak habiskan kelmarin atau nasi panas esok hari yang belum tentu dapat anda nikmati itu akan merugikan anda?


Seandainyaanda anda masih dapat minum air bersih dan segar hari ini maka mengapa anda perlu bersedih hati atas air masin yang anda minum kelmarin, atau mengkhuatirkan air hambar dan panas esok hari yang belum tentu datang?


Jika anda percaya pada diri anda, dengan semangat dan azam yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip: "Aku hanya akan hidup hari ini." Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap saat supaya sentiasa memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi dan mengikhlaskan setiap amalan.



Wassalam.


0 pesanan buat saya :):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...