Rabu, 11 Januari 2012

Jangan Dipaksakan HAri Esok HAdir Sekarang







Assalamualaikum.




"Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu meminta ia disegerakan." (Surah An-Nahl:1)




Jangan sesekali mendahului sesuatu yang belum berlaku. Adakah anda mahu mengeluarkan kandungan sebelum waktunya dilahirkan, atau memetik buah-buahan sebelum masak? Hari esok adalah sesuatu yang belum dapat disentuh; belum berupa dan tidak mempunyai rasa dan warna. Lalu, mengapakita mesti menyibukkan diri dengan hari esok, mencemaskan kesialan-kesialan yang mungkin akan berlaku padanya, memikirkan kejadian-kejadian yang akan menimpanya, meramalkan bencana-bencana yang bakal ada di dalamnya? Bukankah kita juga tidak tahu sama ada kita akan bertemu dengannya atau tidak dan adakah hari esok itu merupakan kesenangan atau kesedihan? 




Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum sampai di atasnya. Ini kerana siapa yang tahu secara pasti bahawa kita akan sampai atau tidak pada jambatan itu? Boleh jadi kita akan berhenti sebelum sampai ke jambatan itu, atau mungkin pula jambatan itu hanyut dibawa arus lebih dahulu sebelum kita sampai di atasnya. Dan boleh jadi pula, kita akan sampai pada jambatan itu dan kemudian menyeberanginya.


Menurut Islam, memberi peluang kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka-buka alam ghaib dan kemudian hanyut dalam kecemasan-kecemasan yang baru berupa persangkaan merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan, kerana hal itu termasuk tulul amal (panjang angan-angan). Menurut pertimbangan, tindakan itu juga tidak masuk akal, sebab ia sama dengan berperang melawan bayang-bayang. Tetapi aneh, kebanyakan manusia di dunia ini malah ramai yang termakan dengan ramalan-ramalan berkenaan kelaparan, kemiskinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang kononnya akan menimpa mereka. Walhal, semua itu hanyalah sebahagian dari matapelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah syaitan. 


“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya.” (Surah Al-Baqarah: 268)


Orang-orang yang menangis sedih memandang masa depan, adalah yang menyangka mereka akan hidup kelaparan, menderita sakit selama setahun dan memperkirakan usia dunia ini tinggal seratus tahun lagi. Walhal, orang yang sedar bahawa usianya berada di dalam ‘genggaman yang lain’ tentu tidak akan menggadaikannya untuk sesuatu yang tidak ada. Dan orang yang tidak tahu bilakah dia akan mati, tentu salah besar jika dia masih terus menyibukkan diri dengan sesuatu yang belum ada dan tidak berupa.




Tunggulah hari esok itu datang dengan sendirinya; jangan sekali-kali menanyakan khabar beritanya dan jangan pula menunggu serangan malapetakanya, kerana hari ini anda sudah sangat sibuk.



“Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum kita sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu dengan pasti bahawa kita akan sampai atau tidak di jambatan itu?” 




Jika anda hairan maka lebih menghairankan lagi orang-orang yang berani menebus kesedihan suatu masa yang belum tentu matahari terbit di dalamnya dengan bersedih hati pada hari ini. Sebab itu, hindarilah angan-angan yang panjang. 




Wassalam.


0 pesanan buat saya :):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...